Nota


SEJARAH
By Dr. Mahathir Mohamad
on January 28, 2011 11:45 AM
1. Sejarah menceritakan apa yang telah berlaku dahulu kepada sesuatu negara atau bangsa. Tidak semua yang diceritakan diasaskan kepada fakta yang benar-benar berlaku. Tiap negara dan tiap ahli sejarah mengutamakan kepentingan negara apabila menulis berkenaan sejarah yang dilalui oleh negara masing-masing.
2. Demikian penulis sejarah British apabila menulis berkenaan pertempuran perang di Waterloo mendakwa bahawa pertempuran itu telah selesai dimenangi oleh Duke of Wellington, Jeneral yang mengetuai tentera British sebelum tentera Jerman yang diketuai oleh Blucher sampai ke Waterloo untuk membantu Wellington.
3. Ahli sejarah Jerman pula menulis bahawa Wellington hampir kalah di Waterloo apabila Blucher sampai dan menyelamatkan tentera British dan seterusnya memberi kemenangan kepada tentera gabungan Jerman dan British.
4. Banyaklah rencana dalam buku sejarah yang memberi gambaran yang berlainan dan berbeza berkenaan dengan peristiwa yang sama kerana kepentingan negara masing-masing.

5. Kita jarang membaca dalam buku sejarah Barat bahawa negara Sepanyol ditawan dan dikuasai orang Islam selama 800 tahun, atau kekalahan teruk tentera British di Gallipoli, Turki, di tangan tentera Turki pimpinan Mustafa Kamal.

6. Sekarang kita dengar pendapat bahawa dalam menulis sejarah negara kita sensitiviti semua kaum mesti diambil kira. Soalnya setakat manakah yang sensitiviti boleh menidak kebenaran sejarah? Jika ia keterlaluan maka sejarah yang akan dipelajari oleh penuntut kita akan menjadi cerita dongeng dan bukan sejarah.

7. Umpamanya ada dakwaan berkenaan dengan penduduk asal semenanjung ini yang bercanggah dengan kebenaran. Apakah kerana sensitifnya perkara ini maka kita tidak akan sebut berkenaan penduduk asal negeri-negeri Semenanjung, berkenaan orang asing yang datang menduduki semenanjung ini, yang menjadikan bahasa tempatan sebagai bahasa mereka, menerap sebahagian daripada budaya dan pakaian tempatan sebagai budaya dan pakaian mereka. Sekarang tidak ada lagi orang seperti ini kerana di zaman ini perlakuan seperti ini tidak dapat diterima oleh kaum tertentu.

8. Dan banyaklah lagi kebenaran sejarah yang boleh dianggap sensitif, sensitif kepada Melayu, Cina, Tamil, Iban, Kadazan dan lain-lain suku kaum. Jika semua yang sensitif kepada kaum-kaum di Malaysia ditapis maka tidak ada pelajaran yang akan diperolehi penuntut.

9. Sebaliknya satu daripada hasil dari matapelajaran sejarah ialah kita lebih prihatin dengan tidak melakukan kesalahan-kesalahan dahulu dalam tindak-tanduk rakyat dan pemerintah. Jika dahulu sistem raja berkuasa mutlak kerap membinasakan negara, maka sistem itu diganti dengan sistem pemerintahan oleh rakyat. Tanpa pengalaman dalam sejarah maka pembetulan cara pemerintahan negara tidak akan dapat dibuat.

10. Kata George Santayana, seorang ahli pemikir Amerika, "Mereka yang lupa akan sejarah akan didera dengan mengulangi kesilapan mereka berkali-kali".

11. Kita semua belajar dari pengalaman. Jika zaman ini lebih baik iklimnya daripada dahulu sebabnya ialah kerana kita tidak amalkan kesilapan-kesilapan dahulu. Kita telah belajar dari pengalaman kita dan pengalaman ini adalah sebahagian dari sejarah.

12. Jika kita lupakan atau ketepikan pengalaman dahulu yang kita alami tak dapat tidak pembaikan iklim dalam masyarakat manusia tidak akan menjadi lebih baik.

13. Saya telah baca buku teks sejarah dan saya dapati banyaklah peristiwa yang penting yang berlaku di zaman penjajahan British, Jepun, Siam dan sekali lagi British yang tidak terdapat dalam buku-buku ini.

14. Saya tahu apa yang tertinggal atau apa yang tidak diberi ulasan yang tepat kerana saya melalui zaman-zaman ini. Saya harap penulis yang akan menulis buku teks yang baru, sambil mengambilkira sensitiviti tetapi akan berpegang kepada kebenaran.

15. Oleh kerana semua ini maka janganlah kita terlalu ghairah untuk tidak menyentuh sensitiviti kaum-kaum di negara tercinta ini sehingga hilang segala pelajaran yang boleh diperolehi dari sejarah kita yang benar.
http://chedet.co.cc/chedetblog/2011/01/sejarah.html


HUBUNGAN ETNIK

PENGENALAN
Berdasarkan pengalaman 13 Mei 1969, ternyata faktor hubungan etnik yang harmonis menjadi anak kunci bagi keseimbangan antara kekukuhan ekonomi dan kestabilan politik. Peristiwa tersebut telah mendedahkan kepada kita semua bahawa survival Malaysia sebagai sebuah negara bangsa dan sistem sosial yang kukuh, tidak semata-mata terletak pada pertumbuhan ekonomi yang baik dan kestabilan politik yang mapan. Apa yang lebih penting dalam konteks Malaysia sebagai sebuah masyarakat majmuk ialah usaha berterusan untuk memupuk dan mengekalkan hubungan etnik yang harmonis. Sekiranya tidak dilakukan, dalam sekelip mata, pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik yang kita nikmati akan tergugat sekiranya berlaku lagi konflik etnik secara terbuka seperti peristiwa 13 Mei 1969.

KONSEP PERPADUAN DAN INTEGRASI
Perpaduan boleh diertikan sebagai satu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan tanah air. Integrasi merupakan satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik (Ahmad Haji Kambar, 1987). Unsur integrasi yang terdiri daripada

  1. Integrasi wilayah yang bertujuan mengurangkan jurang perbezaan pembangunan ekonomi dan sosial antara wilayah yang maju dengan yang mundur. Di Malaysia, tumpuan integrasi wilayah ialah antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia dengan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
  2. Integrasi ekonomi yang boleh diertikan sebagai usaha-usaha untuk mengurangkan jurang perbezaan ekonomi antara kumpulan etnik
  3. Integrasi kebudayaan melibatkan usaha membentuk suatu kebudayaan kebangsaan
  4. Integrasi sosial merangkumi usaha-usaha menyatupadukan rakyat melalui progam sosial seperti sukan, pendidikan, perumahan dan kesihatan
  5. Integrasi pendidikan bertujuan untuk mewujudkan satu sistem pendidikan yang bercorak kebangsaan dan sempurna dari segi intelek, jasmani dan rohani
  6. Integrasi politik yang merangkumi usaha-usaha menyatukan rakyat melalui kerjasama dan pembahagian kuasa politik.
Proses mencapai sebuah masyarakat integrasi bukanlah suatu yang mudah. Menurut Ting Chew Peh (1987), integrasi ialah suatu proses yang sangat kompleks. Tahap-tahap hubungan etnik boleh dilihat dari segi darjah kedkatan bermula dengan hubungan terpisah iaitu segregasi sehinggalah hubungan berbentuk sebati iaitu amalgamasi. Perhubungan yang lebih rapat antara wilayah dapat mewujudkan integrasi dalam bidang politik dan nilai. Perhubungan ini seterusnya mampu mengurangkan konflik dan mengutamakan persefahaman serta mewujudkan perasaan harmonis antara pelbagai etnik.

KONSEP INTEGRASI

a)      KONSEP SEGREGASI
Segregasi merupakan pemisahan atau pengasingan antara satu kumpulan etnik dengan kumpulan etnik yang lain dalam sesubuah negara. Pemisahan berlaku dalam beberapa keadaan, antaranya dari segi kawasan tempat tinggal, sistem persekolahan, pengangkutan dan kemudahan awam. Segregasi wujud sama ada didasari oleh undang-undang atau sebaliknya seperti Dasar Aparteid di Afrika Selatan yang dilaksanakan antara tahun 1948-1994.

b)     KONSEP AKOMODASI
Akomodasi merupakan proses yang menyebabkan setiap kumpulan etnik menyedari serta menghormati norma dan nilai kumpulan etnik lain dan tetap mempertahankan budaya hidup masing-masing. Konsep ini diwakili oleh formula A + B + C = A + B + C, disini A, B dan C merujuk kepada budaya. Pelbagai kumpulan etnik hidup secara harmonis dan menghormati antara satu sama lain. Pada peringkat pemerintahan pusat, setiap kumpulan etnik mempunyai wakil dalam bidang ekonomi dan pendidikan dan mereka saling bergantung. Konsep ini begitu meluas diamalkan di Malaysia kerana setiap kumpulan etnik bebas mengamalkan budaya mereka dalam keadaan harmoni. Jika dilihat di luar Malaysia, Switzerland ialah negara yang mempunyai hubungan etnik bersifat akomodasi kerana etnik Jerman, Perancis dan Itali saling membuat penyesuaian antara mereka.

c)      KONSEP AKULTURASI
Akulturasi merupakan satu proses penerimaan unsur kebudayaan dalam kalangan individu atau kelompok dari sesuatu kebudayaan lain yang berbeza. Akulturasi terjadi apabila satu kelompok manusia dengan kebudayaan tertentu dihadapkan dengan unsur dari suatu kebudayaan asing yang berbeza sehingga unsur kebudayaan asing itu akhirnya diterima dan diolah dalam kebudayaan sendiri. Berbeza dengan proses asimilasi, proses akulturasi tidak menyebabkan kehilangan identiti asal masyarakat penerima. Dalam sejarah tamadun manusia, sering berlaku pertemuan atau pertembungan antara dua atau lebih kebudayaan. Proses ini menyebabkan berlakunya proses pinjam meminjam. Pada peringkat awal, unsur pinjaman digunakan secara langsung dan kemudian diolah serta dijadikan usur kebudayaan sendiri. Di Malaysia, beberapa kes boleh dijadikan rujukan seperti penggunaan tali leher, angpau, makanan, hiburan dan sebagainya. Tetapi, jika unsur budaya yang diambil itu tidak diolah dengan baik, pastinya tindakan ini akan memberi kesan yang tidak baik kepada sesuatu masyarakat. Tidak mudah untuk membentuk sebuah masyarakat yang mencapai tahap akulturasi. Akulturasi lebih mudah dicapai apabila melibatkan budaya bersifat kebendaan yang mendatangkan manfaat seperti pakaian barat. Unsur-unsur budaya yang tidak bebrbentuk kebendaan seperti ideologi dan pemikiran adalah lebih sukar diterima.

d)     KONSEP ASIMILASI
Asimilasi merupakan satu proses percantuman dan penyatuan antara kumpulan etnik berlainan budaya sehingga membentuk satu kelompok dengan kebudayaan dan identiti yang sama. Menurut Vander Zanden (seorang ahli sosiologi), asimilasi ialah satu proses dalam mana kelompok-kelompok yang berfikir, berperasaan dan bertindak secara berlainan, menjadi satu dalam kesatuan sosial serta budaya yang sama. Asimilasi mutlak atau sempurna menyebabkan berlakunya penghapusan penuh perbezaan dari segi kebudayaan dan identiti. konsep ini diwakili dengan formula A+B+C =A, disini A dalam hal ini mewakili golongan dominan smentara B dan C mewakili kumpulan etnik minoriti. Contohnya, orang melayu di Thailand telah mengalami proses asimilasi yang menyebabkan nama, bahasa dan hampir semua aspek cara hidup mereka (kecuali agama) telah disatukan dengan amalan dan cara hidup orang Thai. Di Malaysia, apa yang berlaku keatas masyarakat Jawa, Cina Kelantan, Baba dan Nyonya merupakan contoh berlakunya proses asimilasi. Namun, bagi etnik Cina di Kelantan serta Baba dan Nyonya, asimilasi berlaku dalam konteks budaya tanpa melibatkan anutan kepercayaan atau agama.
Proses asimilasi berlaku apabila wujudnya interaksi yang erat antara ahli kumpulan etnik etnik berbeza budaya bagi suatu tempoh yang lama. kejayaan asimilasi umumnya bergantung kepada kesanggupan etnik minoriti menghilangkan identiti mereka dan menerima identiti kumpulan etnik majoriti; terdapt banyak persamaan budaya antara kumpulan etnik; dan kesanggupan kumpulan etnik majoriti menerima kumpulan etnik minoriti.

e)      KONSEP AMALGAMASI
Amalgamasi merupakan satu proses yang terjadi apabila budaya atau ras bercampur untuk membentuk jenis budaya dan ras baru. Cara utama dalam menentukan proses amalgamasi adalah dengan terjadinya perkahwinan campur antara kumpulan etnik. Teori amalgamasi dinyatakan dalam bentuk formula A+B+C=D, disini A,B, dan Cmewakili kumpulan etnik berlainan dan D mewakili amalgam, satu kumpulan baru terhasil daripada penyatuan A,B dan C. Sebagai contoh, kumpulan-kumpulan etnik yang sedia wujud mengamalkan parkahwinan campur lalu membentuk satu genarasi baru atau budaya baru tanpa menuruti budaya asal mereka.

FAKTOR PENGHALANG INTEGRASI
a)      Diskriminasi ditakrif sebagai pandangan, pemikiran dan kepercayaan negatif oleh seseorang atau sekelompok etnik terhadap anggota atau kelompok etnik lain yang mempengaruhi perilaku pihak yang berpandangan negatif. Tuntasnya, diskriminasi ialah erbuatan membandingkan seseorang individu atau sesuatu kelompok etnik lain berasaskan ciri-ciri etnik semata-mata. Diskriminasi merupakan manifestasi prasangka yang wujud dalam kalangan sesuatu kumpulan etnik. Diskriminasi semakin mudah berlaku terutama apabila wujud prejudis dan stereotaip dalam sesebuah masyarakat, sama ada pada peringkat individu ataupun kumpulan etnik. Diskriminasi berlaku dalam banyak bentuk. Diskriminasi dalam bentuk yang mudah dapat dilihat apabila individu sesuatu kumpulan etnik cuba mengelakkan diri daripada individu atau etnik yang diprasangkakan. Diskriminasi mencapai tahap tertinggi apabila melibatkan pembuangan kerja, serangan fizikal secara terbuka atau percubaan penghapusan sesebuah kumpulan etnik ( ethnic cleansing)

b)     Prejudis ditakrif sebagai pandangan negatif mengenai ahli atau kelompok etnik lain yang tersemat dalam hati seseorang atau kelompok etnik tertentu; prejudis tidak diluahkan secara terbuka. Lazimnya, pandangan ini tidak berasaskan maklumat yang jelas, tepat atau mencukupi. Apabila prejudis disuarakan, prejudis menjadi stereotaip. Prejudis antara etnik berlaku apabila sesebuah kumpulan etnik memandang negatif terhadap kumpulan etnik lain. Prejudis yang kuat terhadap kumpulan etnik lain sukar diubah walaupun fakta yang kukuh diberikan bagi membuktikan bahawa pemahaman tersebut adalah salah. Melalui proses sosialisasi, sikap prejudis disalurkan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Kesan sikap prejudis semakin mudah dilihat apabila berlaku persaingan bagi mendapatkan sesuatu yang terhad sama ada dalam aspek politik, ekonomi atau sosial dan sebagainya.

c)      Stereotaip merupakan kenyataan-kenyataan umum yang negatif terhadap sesuatu kumpulan etnik seperti "semua orang Arab itu beragama Islam", "Orang Belanda itu bersifat kedekut" dan sebagainya. Dengan kata lain, stereotaip ialah gambaran berlebih-lebihan tentang sesuatu perlakuan baik atau buruk yang ditujukan kepada sesuatu kumpulan etnik oleh etnik lain. Hal ini terhasil apabila berlaku pertembungan dua atau lebih komuniti etnik. Fahaman stereotaip ini akan menimbulkan perasaan yang negatif dalam kalangan masyarakat, khususnya masyarakat majmuk di Malaysia. Hal ini kerana fahaman stereotaip akan mengakibatkan sesuatu kumpulan etnik itu memandang rendah terhadap kumpulan etnik lain dan seterusnya membataskan interaksi antara etnik dan menimbulkan semangat perkauman yang menebal. Ringkasnya, setiap kumpulan etnik mmpunyai pandangan stereotaipnya terhadap kumpulan etnik yang lain. Sebagai contoh, orang barat mempunyai pandangan stereotaip terhadap kumpulan-kumpulan etnik di Malaysia. Begitu juga, etnik melayu mempunyai gambaran stereotaip terhadap etnik cina dan india dansebaliknya. Maka, setiap pertembungan etnik akan menghasilkan stereotaip yang berupa gamabran negatif atau positif.

d)     Etnosentrisme pula merujuk kepada kepercayaan atau rasa bangga yang wujud dalam kalangan anggota sesebuah kelompok etnik bahawa budaya dan etnisiti mereka adalah jauh lebih baik dan hebat daripada kelompok lain. Etnosentrisme juga membawa makna suatu perspektif yang melihat kelompok etnik lain menerusi lensa dan kaca mata etnik sendiri.

USAHA-USAHA KERAJAAN UNTUK MEMUPUK PERPADUAN NASIONAL
Kerajaan Malaysia telah menubuhkan Jabatan Perpaduan Negara (kini Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional-JPNIN) pada tahun 1969 untuk memupuk perpaduan dan keharmonian antara kaum. JPNIN kini juga dipertanggungjawab memantapkan integrasi nasional, iaitu merapatkan masyarakat daripada semua negeri di Malaysia, khususnya antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak. Usaha-usaha lain yang diambil oleh kerajaan untuk memupuk perpaduan nasional dan hubungan etnik yang harmonis ialah pengenalan Rukun Negara (Ideologi Kebangsaan), Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan; pergabungan parti-parti politik melalui Barisan Nasional; dan integrasi antara wilayah (antara kawasan bandar dengan luar bandar serta antara semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak). Namun, untuk menjamin dan memelihara hubungan etnik yang harmonis, sumbangan yang besifat top-down sahaja tidak mencukupi. Usaha ini mesti digenapkan oleh suatu usaha berbentuk bottom-up. Justeru, kerjasama dan sumbangan daripada sektor swasta (pimpinan korporat serta pelabur asing), sektor komuniti (pihak badan bukan kerajaan atau NGO) dan semua parti politik adalah sangat kritikal untuk melengkapkan usaha kerajaan yang bersifat top-down. Oleh yang demikian, keharmonian hubungan etnik di Malaysia tidak bergantung semata-mata pada keadaan berbaik-baik antara kumpulan etnik tetapi juga antara kumpulan kelas sosial yang berbeza (antara para pekerja, anggota kelas menengah dan mereka yang kaya daripada pelbagai kumpulan).

23/12/2010